Polis, JPJ Keluarkan 86 Saman Kesalahan Lalu Lintas Dalam OP Bersepadu

721
Operasi bersepadu antara PDRM dan JPJ dilakukan di Jalan Tuaran malam tadi.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Sebanyak 86 keping saman dan lima notis kesalahan lain dikeluarkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan lalu lintas yang dilakukan secara bersepadu malam tadi.

Op Bersepadu Kenderaan Pengangkutan Awam dan Op Bas Ekspres di Jalan Tuaran itu yang bermula pukul 7.30 malam hingga 9 malam bertujuan menimbulkan kesedaran pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan serta undang-undang.

Operasi bersepadu antara PDRM dan JPJ dilakukan di Jalan Tuaran malam tadi.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebanyak 146 kenderaan pelbagai jenis diperiksa manakala lima pemandu bas melalui ujian saringan air kencing dan kesemuanya bersih daripada najis dadah.

“Operasi ini dijalankan dengan penglibatan tiga pegawai kanan polis dan 19 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD bersama empat penguatkuasa JPJ.

Penunggang motosikal turut diperiksa dalam op bersepadu di Jalan Tuaran.

“Jenis kenderaan paling banyak disaman adalah motokar iaitu sebanyak 60 manakala kesalahan paling banyak adalah lampu brek ketiga tidak berfungsi membabitkan 35 saman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasa lain seperti itu akan diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan pemandu-pemandu mematuhi segala peraturan jalan raya.

Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ke atas lesen pemandu dalam operasi bersepadu di Jalan Tuaran malam tadi.

Bermula 28 Januari lalu hingga 12 Februari depan, polis Sabah melancarkan Op Selamat 14 sempena perayaan Tahun Baharu Cina bagi memastikan keselamatan orang awam di sepanjang perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing.

Anggota trafik memeriksa kenderaan salah seorang pemandu di Jalan Tuaran malam tadi.

Sepanjang tempoh itu, anggota keselamatan akan ditempatkan di 30 kawasan panas di seluruh negeri bagi memantau lalu lintas dan turut meningkatkan rondaan di kawasan penempatan untuk mengelakkan jenayah.