Polis Ikrar Bersihkan Najis Dadah Lima Kampung Hotspot Di KK

417
HABIBI MAJINJI memeriksa perbarisan kawalan kehormat sempena Perhimpunan Bulanan IPD KK pagi ini.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berikrar akan membanteras habis-habisan aktiviti penyalahgunaan di lima buah kampung iaitu Kampung Sembulan, Kampung Lokup, Kampung Bakau, Kampung Cenderamata dan Tanjung Aru.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, seorang pegawai bersama beberapa anggota telah ditugaskan memberi tumpuan di setiap satu kampung terbabit dan diberi tempoh tiga bulan sehingga penghujung Mac untuk melaksanakan tugas itu.

Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pesalah, malah akan menjalankan operasi bersepadu secara kerap sehingga kesemua lima hotspot itu bersih daripada najis dadah.

“Lima kampung hootspot ini kita tahu wujud aktiviti dadah sebelum ini jadi kita akan tumpukan operasi banteras habis-habisan kegiatan jenayah itu.

HABIBI MAJINJI mengadakan sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan IPD KK pagi ini.

“Saya bagi tempoh kepada setiap pegawai dan anggota saya untuk bersama masyarakat membasmi kegiatan dadah ini selama tiga bulan dan menjelang Mac kelima-lima kampung sudah dibersihkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD KK hari ini.

Habibi berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 2,166 pesalah ditahan di daerah itu membabitkan pelbagai seksyen kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) antaranya menjadi pembekal, memiliki dan menagih dadah.

“Sebanyak 43 orang pula ditahan di bawah Seksyen 39C ADB kerana penagihan berulang,” katanya.

Menurut beliau, selain membanteras dadah, IPD KK turut berazam membanteras aktiviti perjduian serta maksiat dan menurunkan kadar indeks jenayah di bandaraya itu demi keselamatan masyarakat.

“Jika dibandingkan pada 2018 dan 2017 kita berjaya turunkan kadar indeks jenayah sebanyak 5.4 peratus iaitu 1,541 kes tahun lalu berbanding 1,628 pada 2017.

“Manakala sebanyak 1,056 kes berjaya diselesaikan atau 68 peratus daripada jumlah keseluruhan,” tambahnya.