Polis Halang BERSIH Sabah Anjur Seminar Pengundi Bijak Di Kudat

Pegawai polis Kudat, kiri, memberitahu ahli-ahli BERSIH bahawa acara mereka tidak bolih diteruskan di Perpustakaan Kudat. – Gambar ehsan BERSIH2.0 Sabah
Beverly Joeman

Oleh BEVERLY JOEMAN
1. Hari ini (Sabtu) BERSIH Sabah dijadualkan akan mengadakan program Seminar Pengundi Bijak di daerah Kudat, Kota Marudu dan esok (Ahad) di daerah Keningau.

2. Walau bagaimanapun, perlaksanaan program Seminar yang diadakan di bilik serbaguna Perpustakaan Daerah Kudat telah dihalang oleh anggota Polis daripada IPD Kudat. Menurut pihak pengurusan perpustakaan, seramai 3 orang anggota polis telah datang ke Perpustakaan dan memberi amaran kepada mereka untuk tidak membenarkan program tersebut diadakan di sana.

3. Pada awalnya, pihak Bersih Sabah melalui wakil kami di Kudat, telah membuat tempahan di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Kudat. Semasa tempahan dibuat, pihak Perpustakaan telah memberikan kebenaran untuk membuat program di sana.

4. Namun, apabila kami sampai di sana, pihak Perpustakaan tiba-tiba membatalkan tempahan kami kerana mereka takut, kerana menurut mereka, dua tiga hari sebelum program kami ada tiga orang pegawai polis yang memberi amaran kepada mereka. Amaran yang diberi adalah sekiranya mereka membenarkan seminar ini, mereka akan ditangkap.

5. Bersih Sabah mengecam sekerasnya tindakan polis yang jelas tidak menghormati hak kebebasan rakyat untuk melakukan seminar pendidikan perlembagaan kepada rakyat. Malah, tindakan pihak Polis ini bercanggah dengan hak bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

6. Lebih teruk lagi, kami juga diminta untuk membuka baju Bersih 5 yang telah kami pakai sekiranya ingin meneruskan Seminar Pengundi Bijak di tempat tersebut. Kami mempersoal tindakan pihak Polis yang dilihat kebudak-budakan yang mempertikai pakaian yang kami pakai. Adakah baju Bersih yang kami gunakan menyalahi undang-undang negara atau adakah pakaian ini menghuru harakan negara? Pihak Polis tidak dapat memberikan jawapan kerana telah mendapat arahan untuk tidak membenarkan program tersebut diteruskan.

7. Akhirnya, kami mengambil keputusan untuk meneruskan program Pengundi Bijak di Restoran Kampung Kelapa, Kudat. Kami menggesa pihak Polis bertindak berdasarkan lunas-lunas perundangan dan Perlembagaan Malaysia dan bukannya dipengaruhi oleh keputusan mana-mana pemimpin politik.

8. Pihak polis sepatutnya menghormati dan membantu rakyat yang ingin belajar tentang perlembagaan serta menjadi seorang warganegara yang cakna tentang hak rakyat. Bukan mengugut, intimidasi dan memberi amaran kepada rakyat dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat.

  • Beverly Joeman adalah Naib Pengerusi BERSIH 2.0 (Sabah)