Polis Buru Tujuh Warga Filipina Larikan Diri Dari Depoh Tahanan Imigresen

PAPAR: Pasukan polis sedang memburu tujuh tahanan lelaki warga Filipina yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI), di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 pagi tadi, 14 tahanan warga Filipina dilaporkan melarikan diri dari DTI tersebut dan tujuh daripada mereka berjaya ditahan semula sehingga jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kesemua tahanan yang berusia 22 hingga 43 tahun itu melarikan diri dengan mengumpil bumbung tandas sebelum bertindak memotong pagar pusat tahanan tersebut.

Pada masa ini, operasi mengesan tujuh lagi tahanan yang masih bebas dijalankan bermula awal pagi tadi dengan bantuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), unit anjing pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati semua tahanan itu ditempatkan di blok tengah dan mereka bertindak memanjat bumbung tandas setinggi hampir dua meter selepas mengumpil bumbung tandas menggunakan peralatan tajam.

Kemudian, mereka memotong pagar pusat tahanan dengan menggunakan alat pemotong untuk melarikan diri.

“Tujuh daripada 14 tahanan itu berjaya diberkas semula di sekitar kawasan DTI dan operasi mengesan tujuh lagi tahanan sedang giat dijalankan.

“Tahanan yang melarikan diri ini sedang menunggu proses pengusiran dan keluarga paling rapat dikenal pasti berada di sekitar sini dan juga Tawau. Kita juga percaya mereka akan pulang ke rumah keluarga,” katanya semasa sidang media, di sini hari ini.

Batholomew berkata, beliau percaya semua tahanan masih berada sekitar daerah ini. Walau bagaimanapun, IPD daerah berhampiran turut memberi bantuan untuk mengesan tahanan ini.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan ini diminta untuk menghubungi bilik gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera.