Polis Buru Scammer Tawar Projek Naik Taraf Jalan Raya

KOTA KINABALU: Polis Sabah sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket penipuan menawarkan projek naik taraf jalan raya yang membabitkan kerugian bernilai RM1.93 juta.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan terhadap kes itu susulan lapan laporan polis yang diterima.

Dalam kes ini, seorang lelaki yang dikenali dengan nama panggilan Datuk Yusri Yusuh yang dipercayai memperdayakan mangsa dengan menawarkan projek naik taraf jalan raya yang sebenarnya tidak wujud di Sabah.

Bagi mendapatkan projek itu, pengadu diarahkan untuk membayar sejumlah wang deposit.

Terpedaya dengan kata-kata manis suspek, mangsa telah membayar antara RM 30,000 sehingga RM650,000 dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM1.93 juta.

Susulan itu, pihak polis sedang memburu lelaki yang dikenali dengan ‘Datuk Yusri’ bagi membantu siasatan ini.

Sesiapa yang mengenali atau mengetahui alamat dan tempat tinggal penama boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tilmanshah Wasli ditalian 016-5785962 atau 088 529761.

Kes ini disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau meminta kerjasama daripada orang awam bagi mengesan suspek bagi kes tersebut.