Polis Buru Lelaki Tempatan Terlibat Kes Curi Besi Penutup Longkang

Besi Penutup longkang yang ditemui di bahagian penumpang belakang kereta dinaiki suspek. – Gambar ihsan IPD Kota Kinabalu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Polis sedang memburu seorang lelaki tempatan berumur 20an beralamat di Telipok yang disyaki terlibat dalam mencuri besi penutup longkang sekitar Inanam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek melarikan diri ketika bergelut dengan pihak polis semasa cuba ditahan pada 18 Julai di Pekan Inanam.

ACP HABIBI MAJINJI

Pada 18 Julai, polis menghampiri sebuah kereta yang mencurigakan di Pekan Inanam pada jam 4 pagi.

Apabila diperiksa polis mendapati beberapa besi penutup longkang berada di bahagian penumpang belakang kereta itu.

“Ketika polis cuba menahan seorang suspek lelaki tempatan, berlaku pergelutan hingga salah seorang suspek melarikan diri.

“Bagaimanapun polis berjaya menahan seorang lagi suspek yang merupakan pemandu kereta berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebanyak 30 besi penutup longkang, sembilan penebat pencawang elektrik, satu pemotong besi dan satu gergaji disimpan dalam kereta yang digunakan suspek ketika itu.

“Hasil pendedahan dibuat, suspek memaklumkan baru selesai mencuri besi penutup longkang di kawasan Inanam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Kereta yang digunakan suspek bagi melakukan aktiviti mencuri besi penutup longkang sekitar Inanam. – Gambar ihsan IPD Kota Kinabalu

Kes itu disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Habibi turut menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu untuk menghubungi balai-balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Afizan Kasijan di talian 019 8601230.