Polis Buru Lelaki Tembak Rakan Guna Bakakuk Ketika Mabuk

Mayat mangsa ditutup dengan kain.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Pihak polis sedang melakukan gerakan memburu seorang lelaki yang menembak mati rakannya menggunakan senapang patah atau ‘bakakuk’ ketika dalam keadaan mabuk di Kampung Linayukan, Tongod kelmarin.

Menurut sumber, pihak polis turut mencari seorang lelaki dikenali sebagai Jerry Jais, 40, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden Dzulbaharin Ismail seperti dilaporkan berkata, polis telah mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih belum ditemukan sehingga kini.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk proses bedah siasat

“Suspek sudah dikenalpasti dan usaha mengesan giat dilakukan. Polis juga sudah menemui senapang bakakuk yang disyaki digunakan oleh suspek ketika kejadian,” katanya seperti dilaporkan media.

Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam kelmarin, mangsa, Minus Malit, 40, maut selepas beberapa butir peluru menembusi dada mangsa sehingga ke belakang.

Terdahulu, mangsa dikatakan menyambut hari jadi salah seorang keluarganya di rumah mereka di kampung itu bermula pukul 2 petang yang turut menghidangkan arak sebelum suspek datang pada pukul 6 petang dan minum bersamanya.

Rumah suspek yang dikatakan dibakar oleh beberapa individu yang masih belum dikenali untuk membalas dendam selepas mangsa ditembak mati.

Namun difahamkan, berlaku pertikaman lidah antara mangsa dengan suspek yang tidak diketahui puncanya menyebabkan suspek pulang ke rumahnya pada pukul 8.30 malam.

Seterusnya pada pukul 9 malam suspek telah datang semula ke rumah mangsa dengan membawa selaras senapang bakakok lalu melepaskan sedas tembakan ke udara dan mencabar mangsa untuk keluar dari rumah bersemuka dengannya.

Mendengar cabaran itu, mangsa telah mencapai sebatang tukul yang berada berhampiran dengannya dan terus bergerak menuju ke arah suspek sebelum dia ditembak.

Dalam pada itu, difahamkan, berikutan kejadian itu, keluarga mangsa telah mencari suspek di rumahnya, namun suspek telah melarikan diri.

Berikutan itu, beberapa individu yang masih belum dikenali dikatakan telah membakar rumah suspek selepas memaksa semua penghuninya keluar terlebih dahulu.

BERITA BERKAITAN: –

Kerana Mabuk ‘Tumpung’ Lelaki Maut Ditembak Bakakuk