Polis Buka Kertas Siasatan Berhubung Kenyataan Madius Tangau

Zaini (empat kanan) bersama pegawai kanan polis lain semasa Sidang Media berkaitan kes tangkapan narkotik, di sini pada Rabu.

KOTA KINABALU: Polis Sabah sudah membuka kertas siasatan berhubung kenyataan seorang Timbalan Ketua Menteri yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata, memandangkan sudah ada laporan polis diterima maka, polis menjalankan siasatan mengenai kes berkenaan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan mendatangkan kegusaran.

“Siasatan masih berjalan dan sampai masa kita akan memanggil pihak terlibat untuk membantu siasatan.

“Buat masa ini, kita sedang mengumpulkan laporan polis yang dibuat untuk memanggil saksi-saksi berkaitan. Setakat ini, kita hanya memanggil pengadu yang membuat laporan polis.

“Kita mula membuka kertas siasatan apabila ada laporan polis (pertama) dibuat. Pengadu lain kita akan jadikan saksi kepada kes itu,” katanya ketika ditanya mengenai laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yang didakwa mampu menimbulkan

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) tertentu dimana mereka perlu mengumpulkan semua laporan terlebih dahulu sebelum memanggil individu terbabit dalam kes berkenaan.

Madius dalam Facebook pagenya pada 21 Julai menyatakan (sic) ’38 tahun yang lalu, seorang pemimpin Kerajaan Negeri Sabah berada di Tambunan mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai. Ramai yang terpaksa ikut kerana pelbagai ugutan seperti, tidak masuk Islam tidak dapat Tanah, tidak dapat kerja dan pelbagai lagi ugutan’.

Berikutan itu, pada 22 Julai, sekumpulan pemimpin politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Karamunsing berhubung kenyataan Madius dalam page Facebooknya mengenai pengislaman beramai-ramai.

Kumpulan itu termasuk Pemuda Umno, Pemuda Pas, Suara Masyarakat Sabah, Persatuan Kebajika Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Sabah dan Persatuan Prihatin Sahabat Sabah.

Pengerusi Suara Masyarakat Sabah Musli Oli dipetik berkata, sebagai pemimpin politik, membuat dakwaan sebegitu boleh mendatangkan ketegangan, kecuali beliau (Madius) mempunyai bukti. Namun, jika ada bukti sekalipun adakah perlu untuk ia dibangkitkan lagi. Ia berlaku hampir 40 tahun lalu. Bagaimana perasaan orang ramai.

“Bagaimana perasaan mereka yang sudah memeluk Islam rasa? Jika yang menyatakan sebegini adalah cybertrooper mungkin boleh diterima tapi, sebagai pemimpin politik kata-kata anda dipandang berat,” ujarnya.