Polis Buka 6 Kertas Siasatan Sepanjang Kempen PRK Kimanis

455
Azmir ketika ditemui pemberita.

Oleh ILONA ANDREW
KIMANIS: Enam kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan yang melanggar peraturan pilihan raya setakat hari ke-11 kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diadakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, enam kertas siasatan itu membabitkan 11 laporan polis berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, antara laporan yang diterima membabitkan kesalahan sogokan mengikut Seksyen 10 dan kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan dibawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Di bawah kedua-dua kesalahan itu, tertuduh boleh disabitkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000, atau kedua-duanya sekali.

Azmir berkata, terdapat juga kesalahan fitnah dibawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Anggota dan pesara polis yang mengundi pada Hari Pengundian Awal di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan kedua-dua pihak bertanding dalam PRK Kimanis itu agar bekerjasama dan mematuhi arahan polis sepanjang kempen PRK diadakan.

“Saya memohon kedua-dua pihak bertanding agar menasihatkan penyokong masing-masing untuk tidak melakukan sebarang provokasi,” katanya ketika ditemui semasa Hari Pengundian Awal membabitkan anggota polis di Bilik Gerakan, Balai Polis Membakut, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai permit mengadakan ceramah bagi berkempen, beliau berkata, sebanyak 181 permit dikeluarkan bagi PRK Kimanis dimana, 112 permohonan permit dipohon oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dan 69 permit dipohon oleh Barisan Nasional (BN).

Lapan pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis dan pesara polis turun mengundi sehingga 9.30 pagi tadi.

Proses pengundian awal dipantau oleh pegawai pilihan raya, ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).