Polis Bantuan LLPM Kecil Berkomitmen Tinggi

84

LABUAN: Pasukan polis bantuan pelabuhan kontena, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan keselamatan pelabuhan itu sentiasa berada ditahap keselamatan yang tinggi.

Pengerusi eksekutif LLPM Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata kekuatan pasukan itu telah berupaya memberi keyakinan kepada para pemilik syarikat perkapalan dan pengguna pelabuhan berkenaan.

“Meskipun pasukan kami kecil berbanding jumlah yang ada di agensi-agensi lain, namun aspek keselamatan pelabuhan kontena Labuan sentiasa berada ditahap memuaskan,” katanya di Persidangan Ketua-Ketua Agensi dan Seminar Pemerkasaan Perkhidmatan Pois Bantuan sebuah hotel disini pada Rabu.

Katanya dengan kekuatan perjawatan seramai 55 anggota, komitmen tinggi dalam memberikan kerjasama demi mencapai objektif pasukan dan pemantapan Agensi Polis Kontinjen Sabah sentiasa dikekalkan.

“Diharap kerjasama antara pasukan polis bantuan Sabah dan Labuan dalam aspek perkongsian ilmu dan kemahiran keselamatan dapat dipertingkatkan demi memantapkan usaha mencapai kecemerlangan bukan saja untuk agensi tapi juga untuk setiap anggota dan pasukan itu sendiri,” katanya.

Katanya polis bantuan hari ini bukan sahaja berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ kepada Polis Diraja (PDRM) tetapi juga sebagai pembantu yang efektif dalam mencegah berlakunya kejadian jenayah di premis masing-masing.

“Sebagai pasukan beruniform, kita perlu menjadi contoh yang baik serta perlu berada dibarisan hadapan untuk berinteraksi dan menjaga keselamatan masyarakat.

“Saya berharap segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah dipelajari melalui seminar ini dapat digunakan dengan sebaiknya apabila anggota-anggota kembali ke agensi kelak seterusnya memberi tunjuk ajar kembali kepada rakan seperjuangan yang lain,” katanya.

Penganjuran persidangan tahun ini adalah kedua Labuan Liberty Port Management menjadi tuan rumah.

Sebanyak 30 agensi polis bantuan menghantar 130 wakil ke persidangan itu yang dipengerusikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah, penolong pesuruhjaya kanan Datuk Ahmad Fadzillah Mohamed.

Objektif seminar itu adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan secara teori tentang Akta Polis (H.602), tindakan pencegahan dan tangkapan, integreti, dan peranan serta tanggungjawab Persatuan Polis Bantuan Malaysia (APA).