Polis Bandaraya Tahan Pekebun Miliki Bakakuk, Peluru, Di Inanam

1064

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang pekebun berumur 57 tahun selepas disyaki memiliki bakakuk, sejenis senapang buatan sendiri, selain peluru dan kelongsong peluru dalam satu serbuan di Kampung Tiku Ruminding, Inanam, pada 4 Jan lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata penahanan itu dibuat susulan laporan seorang lelaki tempatan berumur 62 tahun yang juga rakan suspek bahawa suspek melepaskan satu das tembakan ke udara berikutan berlaku perselisihan faham dan pertengkaran selain faktor mabuk.

Beliau berkata pada 3 Jan, jam 2.30 petang, mangsa bersama tiga hingga empat rakan lain telah minum di kampung itu sehingga berada dalam keadaan mabuk sebelum berlaku perselisihan faham dan pertengkaran.

“Rentetan daripada itu, suspek lari ke rumah mengambil senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan berpatah balik ke tempat kejadian sebelum melepaskan tembakan ke udara sehingga mangsa dan rakan lain berlari menyelamatkan diri. Selepas kejadian itu, suspek turut melarikan diri ke rumah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini (Selasa, Januari 8, 2019).

Habibi berkata hasil siasatan lanjut mendapati bakakuk itu dibuat sendiri oleh suspek dan berada dalam simpanannya antara enam hingga tujuh tahun.

“Dalam serbuan itu, polis merampas selaras bakakuk, 21 butir peluru hidup, 15 butir kelongsong peluru, satu botol berisi bebola besi, satu beg silang berwarna hitam, dan dua plastik beras. Kesemua barang ini di bawah simpanan suspek sendiri,” katanya.

Habibi juga berkata ketika serbuan itu dilakukan, polis turut menahan adik lelaki suspek berusia 37 tahun kerana dipercayai berada di lokasi kejadian.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, bagaimanapun, adik lelakinya memiliki dua rekod jenayah lampau, dan polis mengesahkan hasil ujian air kencing kedua-dua suspek adalah negatif.

Kedua-dua beradik itu direman hingga 9 Jan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960, katanya.