Pokok Tumbang Hempap 3 Kenderaan

TUARAN: Tiga kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap sebatang pokok yang tumbang di Kampung Dungang, di sini, awal pagi tadi.

Namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kira-kira 6 pagi itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohd Abd Qawie Abdul Gapar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 6.43 pagi.

Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari BBP Tuaran dikejarkan ke lokasi yang terletak 4 kilometer dari balai.

Turut membantu, 3 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Sebatang pokok yang tumbang menghempap 3 buah kenderaan yang berbeza iaitu Proton Iswara, Perodua Bezza dan Perodua Alza.

“Operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang dilakukan bersama anggota APM.

“Tiada mangsa dilaporkan dan setelah memastikan tiada lagi kemerbahayaan yang wujud, operasi ditamatkan jam 7.20 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.