POIC Sabah Bakal Terima Pelaburan RM13 Bilion

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sektor perindustrian di Sabah bakal menyaksikan perubahan besar dengan kemasukan pelaburan tunggal bernilai RM13 bilion di Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Lahad Datu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pelaburan yang dilakukan Burel Industries Sdn Bhd itu akan membolehkan Sabah berada dalam landasan yang tepat untuk mencapai hala tuju perindustrian negeri.

Kemasukan pelaburan yang besar itu akan membolehkan Sabah berada dalam peta dunia selaku pengeluar produk petrokimia.

Beliau berharap pelaburan itu juga akan membuka peluang pekerjaan termasuk pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Saya berharap Burel Industries akan turut menyediakan latihan kemahiran kepada belia di Sabah semasa kilang itu sedang dibina.

“Dalam masa yang sama, pemindahan teknologi ke Sabah juga amat diharapkan,” katanya ketika Majlis Menandatangani Term of Sheet antara Pengerusi Burel Industries Sdn Bhd Per Brandtzag dan Ketua Pegawai Eksekutif POIC Sabah Sdn Bhd Datuk Dr Pang Teck Wai.

Dijangka 3,500 peluang pekerjaan akan disediakan semasa pembinaan Kilang Petrokimia di POIC itu berlangsung dan 1,500 pekerjaan tetap dan tidak tetap akan ditawarkan selepas ianya siap.

Burel Industries kini mempunyai rakan kongsi yang berpusat di Switzerland, Arab Saudi, China dan Malaysia.

Burel Industries merancang untuk membina kilang petrokimia di POIC Lahad Datu untuk memproses produk petroleum nafta menjadi pelbagai produk petrokimia untuk pasaran dunia.

Pelaburan itu akan menghasilkan 2 juta tan produk petrokimia yang akan dihantar menggunakan kapal ke luar negara melalui 70,000 kontena setiap tahun termasuk produk-produk lain menerusi jeti POIC.

POIC Lahad Datu mempunyai terminal kontena serta kargo pukal cecair yang telah beroperasi sejak 2013.

Mohd Shafie berkata, Sabah memerlukan pelaburan asing untuk mengukuhkan dan memperkembangkan ekonomi negeri ini. Ia sekaligus membuka ruang untuk mewujudkan hubungan kerjasama diperingkat global bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau juga memaklumkan perancangan Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan kepakaran dan sumber daripada 30 syarikat senarai awam dari Sabah bagi mengalakkan mereka membuat pelaburan yang besar di Sabah.

“Kami mempertimbangkan mereka sebagai rakan kerjasama yang berpotensi demi melancarkan proses pembangunan negeri,” katanya.

Sehingga kini, pelaburan tunggal terbesar di Sabah adalah Projek Ammonia dan Urea Sabah di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau telah mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengubahsuai keutamaan industri di Sabah dengan harapan dapat mempercepatkan pembangunan di negeri ini.

Madius berkata, Burel Industries telah mendapatkan kelulusan Kerajaan Malaysia bagi pelaksanaan projek di Sabah. Perjanjian itu juga meliputi pembekalan nafta selama 20 tahun dan memperolehi dana pembiayaan untuk pelabura di Lahad Datu.

Katanya, pelaburan itu akan memberi impak yang signifikan terhadap POIC Lahad Datu yang berpotensi menjadikan Pantai Timur Sabah sebagai hab logistik, perkapalan dan industri antarabangsa.