POIC Lahad Datu Dijangka Terima Pelaburan Mencecah RM300 Juta

65
PANG TECK WAI

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOBE, JEPUN: Usaha kerajaan negeri melancarkan misi menarik pelabur Jepun yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mula membuahkan hasil apabila dua syarikat tenaga telah menyatakan minat dalam sektor penghasilan tenaga baharu atau biomass di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kluster Industri Minyak Sawit (POIC), Datuk Dr. Pang Teck Wai berkata, dua syarikat berkenaan dijangka melabur di  POIC Lahad Datu dengan nilai pelaburan mencecah sehingga RM300 juta dalam jangka panjang.

Beliau berkata, perjanjian pajakan tanah POIC dengan satu syarikat tersebut akan diadakan di Tokyo Selasa depan manakala sebuah lagi syarikat iaitu F Bit Communications Corporation dijangka memeterai perjanjian bersama POIC di Kota Kinabalu pada pertengahan bulan ini.

“Saya amat gembira berada di sini kerana beberapa prospek yang kami temui kelmarin iaitu F Bit Communications Corporation adalah antara beberapa syarikat Jepun yang mengusahakan tiga kilang tenaga biomass bersaiz 10 megawatt setiap satu sangat berminat melabur di Sabah terutama sumber bahan mentah.

“Ia adalah keputusan yang pantas, kami baru bertemu dengan mereka beberapa bulan lalu dan menunjukkan minat mendalam dan saya yakin bulan depan kita berharap persetujuan dimeterai untuk mereka beroperasi di POIC,” katanya ketika ditemubual Borneo Today di Kobe, Jepun hari ini.

Terdahulu kelmarin, satu pertemuan antara Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan POIC telah dijalankan bersama F Bit Communications Corporation sempena misi pelaburan berkenaan.

Teck Wai berkata, keupayaan Sabah menghasilkan tandan buah kosong (EFB) dan kernel sawit kosong (PKS) sebanyak tiga juta tan setahun serta lokasi strategik Pelabuhan POIC adalah pendorong utama kepada kedua-dua syarikat berkenaan melebarkan sayap ke Sabah.

Katanya, jika sebelum ini EFB dan PKS dikategorikan sebagai sisa buangan daripada sawit, namun dengan kehadiran kedua-dua syarikat berkenaan bakal meletakkan Sabah sebagai antara pengeluar dan pengeksport tenaga biomass.

“Maksudnya, daripada situ kita akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada Sabahan dan berharap ini menandakan kita juga akan menceburi industri hiliran iaitu selain penggunaan biomass untuk kilang tenaga, mereka juga akan menghasilkan produk bernilai tinggi seperti karbon yang menguntungkan hasil sumber asli daripada Sawit di Sabah,” katanya.

Katanya, kehadiran kedua-dua syarikat itu nanti dijangka turut menarik lebih banyak pelaburan dari Jepun selepas ini kerana Pelabuhan POIC Lahad Datu menawarkan kawasan perindustrian sedia ada dan membolehkan mereka mengeksport terus ke Jepun menggunakan kargo yang pasti lebih menjimatkan berbanding perlu melalui Singapura, Pelabuhan Klang dan Bintulu terlebih dahulu.

“Apabila jumlah pengeluaran semakin banyak daripada syarikat-syarikat yang akan datang ini, mereka akan mampu untuk mengeksport terus dari POIC Lahad Datu terus ke Pelabuhan Jepun yang akan mengurangkan kos pengangkutan, kos logistik, justeru dengan itu lebih banyak syarikat diharapkan datang ke Sabah.

“Sebabnya adalah logistik merupakan kos utama dalam menjalankan perniagaan jadi jika kita mampu mengurangkannya di mana sahaja di dunia, contohnya di Sabah serta Malaysia, akan mampu menarik lebih banyak perniagaan,” katanya.