PNB Sedia Bantu Kerajaan Melabur Untuk Bangunkan Sabah

157
Shafie (tengah) menyaksikan penyerahan zakat antara Abdul Rahman (kiri) kepada Dr. Hasbullah ketika majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri melabur dalam sektor-sektor tertentu untuk membangunkan negeri ini.

Ketua Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, banyak peluang pelaburan wujud di Sabah justeru perbincangan lanjut untuk melaksanakannya boleh dilakukan selepas ini.

“Memang kami melihat banyak peluang pelaburan di negeri ini sebab itu kami menyatakan kepada kerajaan negeri kesediaan untuk berbincang lebih lanjut pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM3.8 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) hari ini.

Majlis penyerahan zakat kepada Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Dr. Hasbullah Mohd. Taha itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, sebanyak 1.26 juta rakyat Sabah melabur ke dalam PNB dengan jumlah pelaburan RM21.6 bilion.

Katanya, PNB akan terus mencari langkah-langkah sewajarnya untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah melabur ke dalam agensi pelaburan berkenaan.

“Dalam pertemuan ini kami turut berbincang tentang cara-cara menarik lebih ramai pelabur dari Sabah melabur ke dalam PNB.

“Kami juga membincangkan tentang macam mana zakat perniagaan ini boleh dibelanjakan dengan baik untuk membantu orang ramai,” katanya.