PN Terdesak Beli Sokongan Untuk Kekalkan Kerajaan

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menyelar tindakan Perikatan Nasional (PN) yang terdesak membeli sokongan daripada wakil rakyat Warisan untuk mengukuhkan kedudukan dan kuasa.

Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Nicholas Chak berkata, usaha membeli wakil-wakil rakyat itu dibuat kerana PN terdesak mengelak daripada pembentangan belanjawan tambahan daripada ditolak.

“Kita semua tahu bahawa PN telah membelanjakan beratus-ratus bilion di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa dibentangkan di Parlimen.

“Mereka boleh tangguh pembentangan tersebut pada persidangan yang lalu, tetapi mereka tidak boleh mengelak selama-lamanya. Lambat laun terpaksa juga mereka membentangkan belanjawan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan UMNO sedang berusaha membeli wakil-wakil rakyat Kerajaan Sabah untuk mengukuhkan kedudukan parti itu dan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen sama ada daripada Warisan, UPKO atau pun PH telah berikrar untuk kekal dengan pendirian dan tidak terpengaruh dengan sebarang tawaran.

Nicholas  yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, PN khuatir jika dibentangkan, belanjawan berkenaan ditolak dan jika berlaku seperti itu bermaksud Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat kepercayaan menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional tumbang.

Katanya, rakyat Sabah masih waras dan tahu bagaimana mempertahankan yang ada sebab itu tiada sesiapa yang akan berpaling tadah.

“Lihat sahaja Warisan, kami mempunyai majoriti. Sebab itu kami tidak perlu membeli siapa-siapa, tetapi PN tidak mempunyai majoriti, sebab itu PN terdesak membeli sokongan,” katanya.