PN Perlu Percepatkan Tarikh Sidang Parlimen

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa mempercepatkan persidangan Dewan Rakyat bukan saja untuk membentang rang undang-undang mengenai kewangan, malah menangani isu ekonomi serta pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong berkata, tindakan kerajaan yang menolak pembentangan usul dalam persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu amat mengecewakan sekali gus menunjukkan kerajaan PN amat khuatir dengan kedudukan mereka.

Jika dilihat keadaan semasa, katanya, kerajaan PN hanya mempunyai tiga majoriti dengan seorang daripadanya adalah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming daripada parti DAP, manakala Ahli Parlimen Seri Aman, Datuk Masir Kujat dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang sejak awal lagi sudah menyatakan tidak menyokong kerajaan PN.

“Dalam keadaan sedemikian, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tiada majoriti jelas. Kita tidak tahu berapa majoriti dia ada untuk membentuk kerajaan.

“Keseluruhannya, apa yang berlaku amatlah tidak sihat terhadap sistem demokrasi kita.

“Justeru, kita berharap kerajaan buat keputusan untuk membuat persidangan dewan seberapa cepat yang boleh. Sekiranya tidak, ia akan menjejaskan bukan saja langkah yang telah diambil untuk menangani wabak, tetapi juga ekonomi negara,” katanya di sini, hari ini.

Vui Keong yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) turut mengulangi Warisan konsisten terhadap pendirian untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut membidas khabar angin di negeri ini yang mendakwa Sabah bakal bertukar kerajaan, sebaliknya mempertahankan parti Warisan kekal dan stabil di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Ia (khabar angin) diuar-uarkan dalam media sosial dan dikatakan komplot dari pihak sebelah (pembangkang). Kita kena lihat, jika kerajaan pusat pun tidak stabil, tak kan Sabah mahu lompat sebab kita tidak tahu apa yang berlaku kepada Pusat.

“Parti Warisan masih kekal dan stabil di bawah pimpinan Datuk Seri Shafie, semua beri sokongan padu kepada dia dan saya yakin beliau akan terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti,” katanya.