PM Setuju Pembinaan Hospital Medan di Tawau Dipercepat – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju mempercepat pembinaan hospital medan di Tawau untuk membantu Sabah dalam usaha memerangi COVID-19.   

Beliau berkata pembukaan hospital medan di Tawau amat mendesak memandangkan kerja menaik taraf Hospital Tawau hanya 60 peratus selesai.

“Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara secara dalam talian hari ini memberikan maklum balas kepada permintaan saya… hospital medan yang sebelum ini yang dikendali oleh Angkatan Tentera telah menghentikan operasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji juga berkata sejumlah 302 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di Sabah dan 14 agensi membabitkan 6,800 kakitangan diaktifkan untuk menghadapi musim tengkujuh akan datang.

Beliau berkata Sabah turut mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu susulan beberapa kes bencana alam yang mengakibatkan kemusnahan dan kerosakan teruk kepada infrastruktur serta harta benda di beberapa daerah seperti Beaufort dan Penampang. 

“Dianggarkan sebanyak RM147 juta diperlukan untuk memperbaiki kerosakan,” katanya sambil menambah bahawa kerajaan negeri berharap Kerajaan Persekutuan akan menghulurkan bantuan.