Platun Tiger Tumpaskan Penyeludupan Rokok RM670,000 Di Sandakan

345

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran berjaya merampas lebih 3,000 karton rokok kretek seludup dianggarkan bernilai RM670,000 selepas cukai, dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini, tengah malam tadi.

Operasi dijalankan Platun Tiger Batalion 20 pada pukul 12.15 tengah malam itu turut menahan tiga lelaki berusia sekitar 20-an yang mendakwa secara lisan memiliki sijil lahir dan pemegang Kad Pendaftaran Khas Warga Asing (IMM13).

Pegawai Pemerintah Batalion 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M Nasir mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media, hari ini.

“Dalam operasi pertama, pasukan bertugas menahan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki dua lelaki di Jalan Buli Sim-Sim, pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

“Hasil pemeriksaan menemukan 750 karton rokok jenama Astro dipercayai diseludup yanh dianggarkan bernilai lebih RM140,000 selepas cukai,” katanya.

Menurut Mohd Nasaruddin, siasatan lanjut ke aas kedua-dua lelaki itu membawa kepada maklumat serbuan di dua premis  di Jalan Dua dan Jalan Pryer.

“Anggota bertugas turut menemukan 2,868 karton rokok kretek disimpan dalam premis tersebut dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

“Turut ditahan seorang lelaki berumur 28 tahun di dalam premis Jalan Pryer,” katanya.

Tambah beliau, ketika ditahan ketiga-tiga suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri dan hanya mengaku secara lisan memiliki sijil lahir dan pemegang kad IMM13.

“Sehubungan itu, semua rokok, kereta dan suspek dibawa ke Batalion PGA 20 Beluran untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 35(1) (b) Akta Kastam 1967.