PKTM Bantu Lebih 500 Komuniti Toraja Terjejas

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Lebih 500 komuniti Toraja di daerah ini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka mendapat bantuan pek makanan.

Pengerusi Persatuan Komuniti Toraja Malaysia (PKTM) Tawau, Petrus Bernard berkata, sumbangan tersebut diberikan hasil inisiatif Ahli Jawatankuasa Tertinggi PKTM di peringkat daerah dan ibu pejabat Kuala Lumpur.

“Walaupun persatuan tidak mempunyai sumber kewangan yang stabil, namun kami menyedari membantu ahli persatuan terjejas ekoran PKP adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Justeru, ahli majlis tertinggi sepakat melancarkan kutipan dana kami sendiri untuk diagihkan kepada ahli persatuan yang memerlukan,” katanya ketika melancarkan program sumbangan berkenaan di Kampung Hill Top, di sini, hari ini.

Tambahnya, berdasarkan rekod semasa, lebih 500 ahli PKTM Tawau terjejas dan memerlukan bantuan.

“Bantuan ini akan diagihkan secara berperingkat dari semasa ke semasa mengikut peruntukan dana, pergerakan dan tenaga kerja

“Fasa pertama bantuan akan memberi fokus kepada ibu tunggal, warga emas, orang sakit dan ketua keluarga yang hilang punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan,” katanya.

Tambah Petrus, dia berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memohon pihak yang tidak menerima bantuan, kali ini, untuk bersabar, menunggu agihan bantuan pada fasa akan datang.

“Sebanyak 31 lokasi agihan sekitar Tawau sudah dikenal pasti dan bantuan akan dihantar ke lokasi tersebut sebelum diserahkan kepada penerima,” katanya.