PKR Tidak Perlu Pejuang Kesiangan Seperti Salleh

MOHD AMIN

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Laporan akhbar mengenai spekulasi kelulusan keahlian Datuk Salleh Said Keruak yang diterima masuk dalam PKR mengejutkan pimpinan utama parti.

Beliau berkata, sewajarnya pimpinan utama Negeri dan Cabang terlibat di maklumkan tentang kemasukan ini dan dapatkan pandangan agar hasrat pemartabatan tuntutan kuasa autonomi negeri yang diberikan kepada Majlis Pimpinan Negeri Sabah terus mekar dan diperkasa.

Pengarah Pilihanraya PKR Sabah merangkap Ketua Cabang PKR Semporna Mohd Amin Abdul Mem berkata, ianya tidak wajar dan bertentangan dengan polisi serta prinsip yang dipertahankan oleh parti khususnya era selepas pru14 yang lalu.

Katanya, pimpinan parti selalunya tegas dan penuh berhati-hati dengan kemasukan mantan pimpinan UMNO terutama yang keluar beramai-ramai pada bulan Disember 2018.

“Saya berpandangan PKR Sabah berada di landasan yang betul ingin menjuarai agenda Reformasi dan politik perubahan demi kebaikan rakyat.

“Biarpun beberapa pimpinan pembangkang berpindah randah ke parti komponen yang memimpin kerajaan hari ini, PKR sabah tetap untuk tidak menerima atas prinsip memelihara integriti kepimpinan parti dan menghormati keputusan rakyat pada pilihanraya PRU14 yang lalu” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Menurutnya, PKR memerlukan pemimpin dan pejuang-pejuang yang benar-benar memahami idealisme perjuangan reformasi yang membela rakyat, memerangi rasuah, melawan ketidakadilan dan menjunjung muafakat masyarakat bukannya pejuang kesiangan yang hanya memikirkan kepentingan dan survival politik sendiri.

“Saya percaya dan yakin kepimpinan utama parti khususnya Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus kekal mempertahankan agenda perjuangan Reformasi yang telah menjangkau 20 tahun dan bakal memimpin kerajaan malaysia sebagai perdana menteri Malaysia yang kelapan menjelang tahun hadapan.

“Sesungguhnya parti Reformasi ini harus mewakili denyut nadi rakyat yang dahulunya terpinggir agar terus dihormati majoriti rakyat negeri dan negara ini,” ujarnya.