PKR Sabah Akan Serah Surat Tunjuk Sebab Pada Ahli Parlimen Ranau

JONATHAN YASIN

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin masih ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana belum dipecat.

Bagaimanapun, PKR Sabah dalam satu kenyataan petang ini berkata, surat tunjuk sebab akan diberikan kepada Jonathan berikutan tindakannya yang telah menjejaskan parti.

“Isu penafian Ahli Parlimen Ranau keluar parti telah keluar di media massa begitu juga tindakan yang telah menjejaskan nama baik parti oleh beberapa ahli PKR Sabah dalam kemelut politik negara kini.

“Biro Disiplin PKR Sabah sudah mengambil maklum. Bagi tindakan susulan, satu mesyuarat akan dibuat dalam masa terdekat bagi meneliti isu tersebut dan surat tunjuk sebab akan diberikan bagi semua yang terlibat,” kata parti itu.

Jonathan sebelum ini dikatakan merupakan antara 11 pemimpin PKR yang meninggalkan parti itu sehingga menjadi punca Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun petang ini, Jonathan memuat naik status di dalam Facebook menyatakan beliau masih ahli PKR sebelum memadam status berkenaan.

Status terbaharu yang dimuat naik oleh Jonathan adalah kira-kira pukul 2 petang tadi memaklumkan kedudukannya dalam parti akan dibincangkan petang ini.