PKR Nafi Cabang Libaran Bubar

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menafikan seramai 3,144 ahli daripada cabang Libaran telah keluar parti berkenaan.

Pengarah Komunikasi Keadilan Sabah, Adam Fistival Wilfrid berkata, hanya 32 individu yang telah keluar daripada parti tersebut dan bukannya seramai 3,114 seperti yang didakwa oleh bekas Ketua Cabang Libaran, Jaffari Waliam.

Terdahulu, media semalam melaporkan Jaffari mendakwa PKR Sabah bakal dibubarkan dan seramai 3,144 ahli membabitkan 23 daripada 25 ranting cabang Libaran keluar parti bersama beliau.

Dalam satu sidang akhbar semalam, Jaffari memaklumkan pemimpin PKR  gagal menguruskan parti dan hanya mementingkan kelompok tertentu serta meminggirkan yang lain terutama pejuang asal.

Menurutnya, kepimpinan parti di cabang itu terpaksa dibubarkan kerana tidak mencukupi anggota untuk membentuk cabang.

Mengulas lanjut, Adam berkata, Timbalan Ketua Cabang Tuan Surian Sah Hanafiah mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Jaffari Waliam untuk membuktikkan jumlah ahli yang keluar parti 3,114 menurunkan tandatangan akaun bersumpah (SD) akaun keluar parti seperti yang didakwa oleh beliau.

Adam berkata, gesaan tersebut adalah susulan pembohongan Jaffari dengan mendakwa bahawa 23 daripada 25 ranting PKR Libaran menyertai keluar parti.

“Mengikut rekod Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, semasa beliau menjadi ketua cabang, beliau gagal mendaftar sembarang ranting, ternyata kenyataan beliau adalah satu pembohongan.

“Pengerusi MPN Datuk Christina Liew juga turut menggesa agar ADUN lantikan daripada kuota PKR Sabah itu meletakkan jawatan sebagai ADUN lantikan berikutan beliau telah mengisytiharkan keluar parti,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.