PKR Labuan, Sabah Yakin Anwar Berupaya Selesaikan Kemelut Parti

ANWAR IBRAHIM

LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan dan Sabah hari ini menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan tertinggi parti yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dan yakin beliau mampu menangani kemelut yang berlaku dalam parti sekarang.

Bernama melaporkan dalam portalnya memetik Ketua Penerangan Majlis Pimpinan PKR Sabah Simsuddin Sidek yang berkata ketegangan yang berlaku dalam parti sekarang adalah bersifat sementara dan sedang ditangani dengan baik tanpa menjejaskan perpaduan parti.

Simsudin yang juga ketua cabang PKR Labuan menyeru pemimpin serta ahli parti di Sabah dan Labuan untuk berdiri teguh dibelakang Anwar dan mengelakkan lebih banyak konflik agar ketegangan dalam parti dapat diredakan secepatnya.

Beliau juga berkata tidak timbul soal pemecatan Timbalan Presiden parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana Anwar secara terbuka telah menyatakan bahawa beliau dan Azmin adalah dalam satu pasukan.

“Anwar telah menghadapi pelbagai isu mencabar sejak 20 tahun dan kami optimistik beliau akan menyelesaikan krisis dalam parti,” katanya.

Ketegangan dalam parti itu timbul berikutan peredaran video seks dua lelaki. Seorang bekas ketua pemuda cabang PKR, Muhammad Haziq Abdul Aziz, mendakwa bahawa dia dan Azmin adalah lelaki dalam video itu. Azmin menafikan penglibatannya dalam video itu.

Polis kemudian mengisytiharkan bahawa klip video itu kemungkinan besar sahih tetapi identiti individu tidak boleh disahkan.