PKR Bincang Lebih Lanjut Soal Calon, Kerusi pada Rabu ini

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini, bagi membincang lebih lanjut berkaitan jumlah kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew, berkata ini termasuk untuk membincangkan berkaitan calon yang bertanding.

“Berkaitan calon, kita menjangkakan akan selesai pada minggu hadapan selepas berbincang dengan parti.

“Kita juga akan bertemu semula dengan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) apabila kita sudah sedia dengan senarai calon,” katanya selepas perjumpaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) Plus, di sini hari ini.

Mengulas lanjut,  Christina berkata beliau juga akan mempengerusikan menyuarat bersama kompenan PH iaitu PKR, DAP dan Amanah, bagi berbincang mengenai PRN ini.

“Apa yang penting kita akan bermesyuarat bersama parti masing-masing selain dengan kompenan PH bagi berbincang berkaitan PRN termasuk soal calon dan kerusi,” katanya sambil menambah belum tahu lagi jika ada muka baru yang akan bertanding.

Mengenai perjumpaan itu, Christina berkata ia berjalan dengan baik

“Hari ini dalam perjumpaan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) Plus, perbincangan berjalan lancar dan sudah bersedia menghadapi PRN ini.

”Ketua Menteri akan mengetuai kumpulan ini dan ketua menteri amat spesifik semua perkara. Kita akan mengembalikan kuasa itu kepada rakyat, biar mereka pilih…kita beri kepercayaan dan mandat kepada mereka (rakyat),” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PKR bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan menang dua kerusi iaitu DUN Inanam dan Api-Api.