PKPP: Pastikan 90 Peratus Penjawat Awam Bertugas Di Pejabat

KOTA KINABALU: Semua ketua jabatan perkhidmatan awam negeri perlu memastikan keberadaan penjawat awam di bawah seliaan mereka mencapai tahap 90 peratus pada waktu bekerja di pejabat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata hanya 10 peratus sahaja penjawat awam  negeri dibenarkan bekerja dari rumah dengan kelulusan ketua jabatan.

“Kerajaan negeri sekali lagi mengingatkan semua penjawat awam supaya mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan semasa dan prosedur operasi standard dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atau pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata, seramai 12,049 individu di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, dengan 2,520 orang daripadanya menerima suntikan vaksin dos pertama hari ini.

Masidi berkata kes baharu positif COVID-19 di Sabah hari ini menurun kepada 71 kes berbanding 99 kes semalam, menjadikan jumlah kumulatif kes wabak itu ialah 53,557 setakat ini  dengan dua kematian dilaporkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Keningau.

Seramai 129 pesakit COVID-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah ialah 52,290 orang, katanya.