PKPD: Tiga Lokaliti Baru, Tujuh Lokaliti Ditamatkan Di Sabah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan akan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lagi lokaliti di Sabah iaitu di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sandakan, Penjara Sandakan dan Kuarters Penjara Taman Wira, Sandakan.

Pelaksanaan PKPD itu akan berkuat kuasa esok (6 November) sehingga 19 November ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, PKPD di tujuh lokaliti iaitu enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak ditamatkan esok, seperti dijadualkan sebelum ini.

Enam lokaliti di Semporna itu adalah Kampung (Kg) Bangau-Bangau Darat, Kg Bangau-Bangau Hujung, Kg Halo dan Kg Ubian; Kg Panji; Kg Air; Kg Selamat; Kg Simunul serta Kg Pinggir Bakau. Di Kunak pula adalah di Kg Pengkalan.

Ketujuh-tujuh lokaliti itu mula diletakkan di bawah PKPD pada 11 hingga 24 Oktober dan kemudian dilanjutkan sehingga 6 November.

Bagaimanapun, kesemua kawasan ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksana ketika ini.

Sementara, satu lokaliti PKPD di Anjung Teduh Felda Sahabat, Lahad Datu diarahkan untuk dilanjutkan bermula 7 hingga 20 November ini.

Keputusan melanjutkan pelaksanaan PKPD itu dibuat dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) setelah mengambil kira nasihat dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dibuka semalam, iaitu di Dewan Sukan dan Rekreasi Kinabatangan.