PKPD Taman Semarak: RT Digerak Agih Bantuan Kepada Penduduk

TAWAU: Rukun Tetangga  (RT) Taman Semarak akan digerakkan untuk membantu penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai hari ini sehingga 8 Nov depan.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata wakil RT di setiap blok atau ketua RT berperanan membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam mengurus agihan bantuan kepada penduduk.

“Selain itu, misalnya (orang luar) mahu menghantar barangan keperluan kepada penduduk yang dikenakan PKPD ini, mereka boleh menghubungi terus wakil RT atau ketua RT yang akan mengambil keperluan itu dan diserahkan kepada pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Taman Semarak di sini, hari ini.

Katanya, petugas RT ini berada di bawah Jabatan Perpaduan Negara.

Dalam pada itu, Peter berkata petugas kesihatan turut ditempatkan di Taman Semarak untuk memudahkan penduduk yang memerlukan rawatan kesihatan diperiksa.

“Jika berkaitan kecemasan akan terus dihantar ke hospital,” katanya.

Pada 24 Okt lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Taman Semarak serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung di Tawau membabitkan 4,266 rumah dan 21,470 penduduk, bagi membendung peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.