PKPD PTS Sibuga Sandakan, Kg. Desa Bajau & Kg. Dasar Baru, Lahad Datu Bermula Rabu

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokaliti di Sabah susulan pengesanan kes positif di kawasan terbabit.

PKPD itu melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan; Kampung (Kg) Desa Bajau dan Kg Dasar Baru, Lahad Datu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pelaksanaan PKPD di ketiga-tiga lokaliti itu bermula 2 hingga 15 Disember ini.

Untuk pelaksanaan PKPD di PTS Sibuga Sandakan, ia melibatkan seramai 1,209 individu yang terdiri daripada 1,104 tahanan dan 105 anggota.

Katanya, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 324 saringan dan telah merekodkan 104 kes positif Covid-19 yang melibatkan tahanan dan anggota PTS Sibuga.

Sementara, pelaksanaan PKPD di Kg Desa Bajau dan Kg Dasar Baru, Lahad Datu melibatkan 914 buah rumah dengan jumlah 4,934 penduduk.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 665 saringan dan telah merekodkan 90 kes kumulatif positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan melaksana PKPD di ketiga-tiga lokaliti ini bagi membolehkan KKM melaksanakan ujian bersasar bagi semua penghuni dan penduduk yang terlibat.

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) PKPD di tiga lokaliti ini sama seperti SOP PKPD di lokaliti-lokaliti lain sebelum ini.

Tiada aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan di PKPD di Kg Desa Bajau dan Kg Dasar Baru, Lahad Datu.

Hanya operasi kedai runcit dibenarkan beroperasi bermula dari 6 pagi hingga 6 petang dan pasar awam dibuka dua kali seminggu.