PKPD Kg Sabah Baru, Lahad Datu Dilanjut Hingga 7 Dis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu bermula esok sehingga 7 Disember ini.

Keputusan itu dibuat oleh sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan ujian saringan Covid-19 yang mendapati kes positif masih tinggi di lokaliti berkenaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, sehingga 15 November, sebanyak 1,914 ujian saringan telah dilakukan dan 200 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

“Lanjutan tempoh PKPD ini bagi membolehkan saringan berterusan dapat dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan Covid-19 di lokaliti ini,” katanya semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD Kg Sabah Baru ini dilaksana bermula 10 hingga 23 November ini.

Sementara, pelaksanaan PKPD di Taman Mesra, Sandakan akan ditamatkan esok, seperti dijadualkan sebelum ini.

Sebelum ini PKPD di Taman Mesra, Sandakan berkuat kuasa bermula 28 Oktober sehingga 10 November dan kemudiannya dilanjutkan sehingga 24 November.

Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Negeri Sabah yang sedang berkuat kuasa.