PKPD: Ewon hulur sumbangan kepada penduduk Kg.Nahaba

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan keperluan harian, barangan makanan dan makanan bayi untuk penduduk Kadamaian yang terlibat dalam arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kampung yang terlibat dalam PKPD sejak 20 November lalu ialah Kg.Nahaba dan Kg.Tegudon, Kota Belud dalam kawasan DUN Kadamaian melibatkan seramai 1,740 penduduk.

Ewon berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kampung berkenaan yang menghadapi kesukaran membeli barangan keperluan dapur kerana pergerakan terbatas.

“Penduduk kampung di kedua-dua lokaliti itu sukar mendapatkan barangan keperluan asas untuk bayi seperti makanan dan pampers serta makanan harian kerana tidak dapat keluar membeli keperluan harian yang diperlukan.

“Oleh itu saya mengalu-alukan penglibatan semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan terus kepada penduduk di kedua-dua kampung ini,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, Ketua Cawangan Upko, Padis Mengisan iaitu mantan Ketua Kampung Kg Nahaba memaklumkan pelbagai masalah dan keperluan penduduk kampung sepanjang PKPD.

“Antaranya keperluan bayi dan warga emas, kehabisan pampers dan susu. Dua keperluan ini tidak termasuk dalam item bantuan Kerajaan melalui Pejabat Daerah yang telahpun menyampaikan bantuan bakul makanan sebelum ini.

“Sebab itu antara barangan yang saya sampaikan ialah pampers, susu, sabun dan colgate. Pek-pek bahan mentah seperti sayur-sayuran juga dihantar bersekali ke Pejabat Daerah Kota Belud sebelum diagih-agihkan kepada penduduk di Kg Nahab.

“Sumbangan ini mungkin tidak dapat memenuhi semua keperluan penduduk kampung, tetapi saya membantu setakat mana boleh dan berharap ia menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah mereka,” katanya.

Ewon turut meminta urusetia Pejabat Perhubungan ADUN Kadamaian untuk menghantar sumbangan air minuman ke pusat kuarantin Kota Belud di Rest House Kota Belud di mana beberapa penduduk Kadamaian terlibat perintah kuarantin.