PKPD Di Kg Tanah Merah, Kota Marudu Mula Selasa

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Emperoh Jambu, Padawan di Kuching, Sarawak dan Kampung Tanah Merah di Kota Marudu, Sabah bermula esok hingga 8 Mac ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat susulan penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata di Kampung Emperoh Jambu, sebanyak 60 kes positif COVID-19 telah dilaporkan dan KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti tersebut serta kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 1,215 orang penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Bagi perkembangan di Kampung Tanah Merah, beliau menjelaskan KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes secara mendadak melibatkan lokaliti itu apabila sebanyak 57 orang didapati positif COVID-19 hasil daripada 226 ujian saringan yang telah dilaksanakan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas 545 penduduk yang tinggal di lokaliti ini dan seterusnya untuk mengawal jangkitan COVID19 dalam komuniti,” kata Ismail Sabri.

Mengenai saringan wajib pekerja warga asing semalam, Ismail Sabri berkata seramai 10,288 warga asing telah menjalani saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, sembilan didapati positif.

“Secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 437,211 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 21,403 majikan dan daripada jumlah ini, 7,852 orang telah disahkan positif manakala 429,359 lagi negatif,” katanya. 

Ismail Sabri berkata seramai 509 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan daripada jumlah itu, 466 individu dikompaun, 39 direman, sementara empat dijamin.

Selain itu 16 pendatang tanpa izin ditangkap serta lima kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng semalam.