PKPB Sabah Dilanjut Hingga 9 Nov

ISMAIL SABRI

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah yang dijadual berakhir 26 Oktober ini dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 Nov.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara berkenaan diputuskan  dalam Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini, selepas meneliti perkembangan semasa penularan COVID-19 di negeri itu.

Beliau berkata ketika ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneruskan saringan secara bersasar kepada penduduk.

“Sehingga kini masih terdapat peningkatan kes positif yang tinggi dikesan dalam kalangan penduduk di seluruh negeri Sabah.

“Sehubungan itu, atas cadangan MKN Sabah dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPB di seluruh Sabah selama 14 hari,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

PKPB di Sabah yang bermula 13 Oktober lepas sepatutnya tamat pada Isnin (26 Okt).