PKPB: Perkhidmatan Pengangkutan Laut Dari Dan Ke Labuan Beroperasi Seperti Biasa

Nurzaliza Kartika Abdullah

LABUAN: Perkhidmatan Pengangkutan Laut Labuan-Menumbok-Labuan-Kota Kinabalu-Labuan beroperasi seperti biasa untuk perkhidmatan perlu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzaliza Kartika Abdullah.

“Labuan berbeza dengan negeri lain, kerana pengangkutan laut masih digunakan secara meluas oleh mereka terlibat dalam perkhidmatan perlu, kakitangan dalam industri minyak dan gas dan krew perkapalan, atau oleh pekerja tinggal berhampiran sempadan tanah besar Sabah dan bekerja di Labuan dan mereka berulang-alik hari-hari.

“Dalam kami menguatkuasakan PKPB, kami juga perlu memastikan kegiatan ekonomi yang menjadi pergantungan orang ramai tidak akan terjejas dengan banyak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perkhidmatan pengangkutan laut Menumbok dan Sipitang dari dan ke Labuan menggunakan bot laju atau feri bermuatan 14 dan 40 tempat duduk, dan MKN mengingatkan mereka untuk memastikan operasi sentiasa perlu mengikut operasi prosedur standard (SOP) penjarakan fizikal.

Nurzaliza Kartika berkata, operasi feri ro-ro, Labuan-Menumbok-Labuan, beroperasi seperti biasa dengan membawa lebih banyak barangan perlu dari tanah besar Sabah ke Labuan.

Pada ketika ini sejumlah empat buah feri menjalankan operasi ulang alik ke Menumbok dan Labuan.

Namun beliau berkata, aktiviti perkhidmatan kapal bukan konvensional seperti kapal kayu atau dikenali sebagai ‘Kumpit’ yang biasanya digunakan untuk aktiviti barter, adalah tidak dibenarkan.