PKPB: Aktiviti Hiburan, Panggung Wayang, Kenduri-Kendara, Berkelah Tidak Dibenarkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri masih belum membenarkan operasi yang membabitkan aktiviti hiburan, majlis sosial, aktiviti berkelah, sukan berpasukan serta panggung wayang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri tidak membenarkan aktiviti membabitkan penglibatan orang ramai seperti aktiviti hiburan, aktiviti kelab malam atau pub, pusat karaoke keluarga dan pusat permainan arked dan aktiviti konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton.

Disamping itu, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti berkelah, aktiviti bersentuhan fizikal atau sukan tempur, aktiviti perlawanan bagi sukan berpasukan dan aktiviti penganjuran kejohanan atau pertandingan.

“Sebarang aktiviti sukan, rekreasi dan riadah yang melibatkan penglibatan yang ramai dan sukar dikawal penjarakan fizikal.

“Bagi acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton dan acara dan pertandingan sukan yang melibatkan peserta dari luar negara juga tidak dibenarkan ketika ini,” katanya.

Masidi berkata, penganjuran majlis keramaian, majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta, majlis sosial juga tidak dibenarkan. Ini termasuk kenduri- kendara, pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion,retreat dan lain-lain majlis sosial.

Untuk pendidikan Institut Pengajian Tinggi Awam & Swasta (IPTA/S), Institut Latihan Kemahiran, pusat tahfiz, dan sekolah adalah tertakluk kepada arahan untuk beroperasi oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Namun pengecualian diberi kepada pelajar sekolah, IPTA/S yang mengambil ujian atau peperiksaan dengan institusi luar negara adalah dibenarkan untuk hadir menduduki peperiksaan sahaja dan bukan untuk sesi pembelajaran.