PKP: Sumbangan NGO Perlu Melalui PKOB Daerah

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Badan bukan kerajaan, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian yang ingin menyumbang kepada golongan terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) perlu melalui PKOB daerah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan daripada semua NGO, syarikat swasta, pemimpin masyarakat dan orang persendirian.

Namun, bagi tujuan penyelarasan, sumbangan haruslah disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi arahan tersebut, akan dikenakan kompaun.

Mengenai sektor pembekalan dan penjualan makanan di gerai makanan, kenderaan saji (food truck), penjaja dan medan selera termasuk gerai tepi jalan adalah dibenarkan.

Namun, mereka harus beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam secara bawa pulang (take away) atau pandu lalu sahaja.

Katanya, kerajaan juga membenarkan perniagaan perkhidmatan mencuci dan menggilap kenderaan untuk beroperasi sepanjang PKP.

Namun, pengusaha perlu menyediakan pekerja yang mengawal keluar masuk pelanggan. Waktu operasi yang dibenarkan bermula 6 pagi hingga 6 petang.

Turut dibenarkan beroperasi adalah sektor perhutanan dan pembinaan.

Untuk itu, operasi perhutanan huluan dan operasi perhutanan hiliran. Ini termasuk kebenaran operasi pembalakan dan pengangkutan kayu balak, pembangunan ladang hutan, rehabilitasi hutan, inventori hutan, rawatan silvikultur, operasi kilang dan aktiviti eksport/import.

Bagaimanapun operasi sektor ini melibatkan kapasiti 50 peratus pekerja sokongan dan 30 peratus pekerja peringkat pengurusan pejabat dalam satu-satu masa bekerja.

Waktu operasi yang dibenarkan ialah 6 pagi hingga 6 petang dari hari Isnin hingga Jumaat. Manakala pada hari Sabtu dan Ahad, tertakluk kepada permohonan dan kelulusan Pegawai Perhutanan Daerah.

Namun, aktiviti rekreasi hutan termasuk hiking, memancing, joging, berbasikal dan aktiviti lain tidak dibenarkan.

Bagi sektor pembinaan pula, operasi kuari adalah dibenarkan bermula dari 6 pagi hingga 6 petang dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.