PKP: Pergerakan Lebih 10km Atas Budi Bicara Polis – Masidi

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membenarkan pergerakan melebihi radius 10km di kawasan pedalaman di Sabah.

Bagaimanapun, kebenaran pergerakan ini tertakluk kepada budi bicara pihak polis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan menerima hakikat bahawa di kawasan luar bandar dan pedalaman, mereka terpaksa bergerak lebih 10km untuk membeli barangan keperluan.

Namun, dikawasan bandar kelonggaran itu tidak boleh diberikan kerana setiap 10km sudah pasti mempunyai kedai untuk membeli barangan keperluan.

“Radius 10km yang ditetapkan sebagai asas peraturan namun, sekiranya ada keperluan untuk melonggarkan sebab keadaan di luar bandar, PDRM mempunyai budi bicara untuk mengurusnya,” katanya ketika mengulas mengenai kelonggaran membenarkan pergerakan lebih 10km di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, hari ini.

Mengenai isu kebersihan tandas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kompleks Sukan Kota Kinabalu, Likas, tindakan sepatutnya telah diambil maka, isu tersebut dianggap telah selesai.

Katanya, mereka menerima laporan berbeza daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bahawa berita yang ditularkan itu tidak seperti gambaran sebenar.

“Ada antara pesakit yang ditempatkan di PKRC itu secara sukarela membersihkan tandas kerana mereka bosan berada di situ. Namun, jika tandas kotor, kita juga akan mengarahkan operator untuk melakukan kerja-kerja pembersihan,” jelasnya.