PKP: Dua Pemilik Gerai Dikompaun Di Beaufort

Oleh SURAIDAH ROSLAN
BEAUFORT: Dua pemilik gerai makanan dikenakan kompaun RM1,000 semalam atas kesalahan membenarkan pelanggan makan dan minum di gerai mereka.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata, kedua-dua pemilik gerai itu masing-masing beroperasi di Pekan Membakut dan Kampung Tinambak, Kuala Penyu.

Di Membakut, pemilik gerai yang dikenakan kompaun adalah lelaki berusia 58 tahun sementara di Kuala Penyu, seorang wanita berusia 36 tahun.

Azmir berkata, semasa pasukan pemantauan melakukan tugas pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kedua-dua kawasan tersebut didapati pemilik premis membenarkan pelanggan makan dan minum di gerai mereka.

Dengan itu, kedua-dua pemilik gerai melakukan kesalahan membenarkan pelanggan duduk untuk makan dan minum di gerai mereka.

Kedua-dua individu tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 13 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (No.9) 2020.

Dibawah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) operasi premis makanan termasuk gerai makan hanya dibenarkan dibuka untuk khidmat bawa pulang (tapau), pelanggan tidak dibenarkan makan di premis makanan.

Azmir berkata, bemula hari ini, pihak polis akan bertindak lebih tegas dan tiada lagi tolak ansur terhadap individu yang didapati melanggar kesalahan SOP Covid-19 bagi memastikan usaha memutuskan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Tambahnya, masyarakat juga diingatkan agar tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap pematuhan SOP yang telah ditetapkan.