Pindahkan Pegawai Bermasalah Ke Ibu Pejabat, Bukannya Ke Sabah – Shafie

KOTA KINABALU: Sabah tidak harus dijadikan tempat pembuangan untuk menempatkan pegawai atau kakitangan kerajaan yang bermasalah tidak kira anggota pasukan keselamatan atau jabatan lain.

Sebaliknya, Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kakitangan berkenaan harus dipindahkan ke ibu pejabat jabatan berkenaan bagi memudahkan pemantauan dan bimbingan.

“Malangnya mereka diletak dihantar ke negeri Sabah. Ini yang membimbangkan kita, sebagaimana yang disebut, Sabah become dumping area untuk pegawai-pegawai ini.

“Kalau kita lihat mereka ni dah pun melencong dari tanggungjawab yang asalnya dan integritinya menjadi persoalan, maka jangan hantar mereka ke tempat tempat yang boleh menjejaskan dan memburukkan nama dan imej perkhidmatan awam.

“Pegawai pegawai seumpama ini, sepatutnya pihak yang berwajib, keselamatan dalam negeri, mengambil tindakan, put them at the headquarters, ibu pejabat supaya mereka boleh memantau membimbing mereka dengan lebih dekat, kalau tidak pun, dikenakan tindakan disiplin.

Menurutnya tindakan memindahkan kakitangan yang bermasalah ke ibu pejabat sudah dilakukan ketika beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan pada 1999 hingga 2004 yang lalu.

“Contohnya semasa saya Timbalan Menteri Pertahanan dahulu, jika ada anggota-anggota, pemegang jawatan, jika didapati (melakukan salah laku), kita akan ambil tindakan disiplin ke atas mereka. Bukan hanya diturunkan pangkat, tetapi diletakkan di ibu pejabat dan di pantau dengan baik. Langkah seumpama ini harus konsisten di peringkat semua perkhidmatan awam,” katanya.

Mohd Shafie berkata ini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak dulu lagi.

“Tapi malangnya sudah saban tahun perkara ini berlaku. Saya masih ingat ada di antara pegawai dahulu yang simpati kepada pihak pembangkang, dihantar ke Sabah, berpuluh tahun dahulu dan hari ini pegawai-pegawai kerajaan seperti yang dibangkitkan di Parlimen dan juga disuarakan, pegawai-pegawai anggota keselamatan yang membimbangkan tingkah lalu, terlibat dalam kegiatan tidak sihat, sepatutnya mereka ini berpegang kepada integriti yang tinggi,” katanya.

Menurutnya, Sabah memerlukan anggota keselamatan yang berintegriti dan bertanggung jawab memandangkan negeri ini berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan termasuk penculikan.

Mohd Shafie sebelum itu ditanya mengenai cadangan untuk memindahkan sembilan anggota polis yang terbabit dalam kes peras ugut seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor ke Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun setelah mengambil kira maklum balas daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah, dilaporkan berkata keputusan untuk memindahkan mereka ke Sabah dan Sarawak, kini dikaji semula.