Pindaan Beberapa Perundangan Sabah Dibentang Disember Ini – Shafie

3539
Ketua Menteri Sabah diiringi oleh Pengerusi MICCI Sabah Datuk Seri Wong Khen Tau, kiri, dan Datuk Tan Cheng Kiat, di Majlis Makan Tengahari Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa cawangan Sabah (MICCI), di Kota Kinabalu pada Khamis.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menyemak semula beberapa perundangan yang ada bagi membolehkan beberapa pindaan undang-undang dapat dilakukan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, beberapa perundangan perlu semakan semula seperti ordinan tanah.

“Jika dilihat Sarawak dapat melakukan beberapa perubahan dalam kutipan cukai tetapi tidak di Sabah. Kita tidak dapat lakukan perkara itu di Sabah. Atas sebab itulah kita perlu semak semula perundangan yang ada.

“Pada masa akan datang banyak lagi undang-undang seperti tanah dan beberapa perundangan lain akan dilihat bagi memastikan kita dapat memperjelaskannya secara terperinci untuk dipatuhi semua pihak,” katanya ketika ditanya tentang perkara akan dibentangan dalam Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri yang akan dilakukan pada Disember.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Tengahari Tahunan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa cawangan Sabah (MICCI), di sini pada Khamis.

Kemudian ditanya tentang permintaan MICCI supaya Kerajaan Negeri mengambil alih urusan pentadbiran di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMB-EAGA), Shafie berkata, penglibatan Kerajaan Persekutuan perlu dalam BIMB-EAGA kerana ia melibatkan dasar yang berhubung kait dengan negara-negara Asean lain.

“Kita masih perlu kerjasama Kerajaan Persekutuan bukan kerana kita tidak boleh namun, ia membabitkan undang-undang antara negara-negara lain seperti Brunei, Filipina dan Indonesia.Ia membabitkan perundangan yang ada dan kita perlu penelitian.

“Sekiranya ia tidak membabitkan Kerajaan Pusat, itu agak membimbangkan kerana akan ada dasar-dasar yang berhubung kait dengan negara-negara Asean yang mungkin perlu dibabitkan dalam usaha ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, apa yang penting adalah untuk memanfaatkan perdagangan antara negara-negara seperti Filipina, Indonesia, Brunei dan Malaysia.