Pinda Perlembagaan Kembalikan Status Sabah

KOTA KINABALU: Bertahun lamanya hak dan status Sabah dirampas maka, tiba masa untuk kerajaan memerintah negeri Sabah hari ini mengemukakan usul meminda Perlembagaan Negeri Sabah bagi mengembalikan status Sabah.

Norazlinah Arif (Warisan-Kunak) berkata, kerajaan negeri perlu kemukakan usul untuk mengembalikan semula status Sabah kepada sebuah negara.

“Kerajaan Persekutuan telah menjatuhkan status negara kita kepada negeri dan kita pula menconteng arang ke muka yang di-Pertua Negara dengan menurunkan darjatnya.

“Ini boleh diperbetulkan. Saya mohon kerajaan hari ini membuat usul untuk meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah kepada asalnya seperti yang sepatutnya.

“Ini hak kita, ini martabat kita..yang dirampas, kita boleh ambil balik kerana meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah boleh dibuat diperingkat negeri oleh semua wakil rakyat di sini. Kita perlu bertindak,” katanya semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau turut memuji usaha Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang begitu konsisten memperjuangkan hak Sabah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara konsisten tidak kira di kerusi pembangkang mahupun kerajaan.

Norazlinah berkata, usaha menuntut hak Sabah ini mampu menyelesaikan banyak perkara terutama kemiskinan dan keperluan asas yang sering dianaktirikan dalam Keluarga Malaysia.

Katanya, Sabah mula kehilangan hak apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1976 dimana negara Sabah yang diwarisi bertukar menjadi sebahagian negeri-negeri Tanah Melayu.

Pada tahun 1976, DUN Sabah telah meminda Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah yang pada mulanya disebut, dengan izin, “There shall be a Head of State for Sabah, to be called the Yang di-Pertua Negara…”.

Kini Yang di-Pertua Negara menjadi Yang di-Pertua Negeri setelah Dewan ini membuat pindaan Perkara 1(1) Perlembagaan Sabah.