Pinda Akta Supaya Hukuman Berat Kepada Aktiviti Bom Ikan

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan wujud keperluan untuk Akta Perikanan dan undang-undang berkaitan dipinda bagi memastikan aktiviti haram di laut seperti penggunaan bom ikan dijatuhkan hukuman lebih berat.

Ketua Menteri berkata, hukuman yang ada sekarang kurang berkesan walaupun jenayah itu telah berlarutan selama berpuluh tahun sehingga membahayakan nyawa manusia dan merosakkan alam sekitar.

“Tentu pindaan boleh dilakukan contohnya penalti yang dikenakan, saya difahamkan ada beberapa kes yang pernah dibawa ke mahkamah namun pelakunya mudah sahaja melepaskan diri.

“Sebab itu akta dan undang-undang yang ada perlu dikaji balik untuk mencegah perbuatan ini kita mahu sesiapa yang bersalah dihukum berat atau dipenjarakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Shafie mengulas tentang kematian tiga penyelam di Semporna kelmarin yang dipercayai berpunca daripada letupan bom ikan yang dilempar ke dalam laut oleh nelayan.

Semalam Persatuan Penyelam Profesional Sabah mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu pasukan renjer laut yang boleh membantu pihak berkuasa menjaga kawasan tumpuan penyelam di negeri ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sementara itu, kata Mohd. Shafie, dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, beliau telah meminta supaya pengurusan Pulau Sipadan diberikan kepada kerajaan negeri untuk memudahkan langkah kawalan dibuat.

Katanya, Dr. Mahathir telah bersetuju dan cadangan berkenaan juga telah dipersetujui oleh Kabinet Persekutuan dan hanya menunggu untuk dilaksanakan.

“Selama ini pengurusan Pulau Sipadan dibawa Majlis Keselamatan Negara (MKN), maka selepas diserahkan kita akan melihat cara terbaik untuk menguruskan kawasan-kawasan tumpuan penyelam di sana.

“Kita perlu cari langkah terbaik memastikan jurulatih selaman mempunyai lesen sah dan mereka akan menjaga setiap penyelam termasuk pelancong serta memastikan tempat yang dipilih untuk menyelam selamat,” jelas beliau.

Mohd. Shafie turut berkata, beliau akan memberi cadangan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Perikanan agar memudahkan golongan nelayan membina kolam ikan di pesisir pantai supaya mereka tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada aktiviti menangkap ikan yang juga menyebabkan wujud penggunaan bom ikan.

“Kalau mereka dapat ternak ikan di tebing tidak perlu lagi ke laut dalam yang kita tidak tahu jika mereka guna bom ikan sehingga membahayakan sumber makanan kerana penuh dengan bahan kimia.

“Ini juga membantu soal keselamatan kerana kadang-kadang kita ingat bot yang masuk ke sempadan adalah nelayan tempatan rupa-rupanya orang dari seberang tanpa dokumen,” tambah beliau.