Pimpinan Warisan Teruskan Serah Bantuan, Tidak Terpengaruh Tuduhan ‘RM100′

Sebahagian barang makanan yang diserahkan di kawasan DUN Balung.

RODELIO JUNJUN TAUCAN dan JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Pelbagai tohmahan telah dilemparkan terhadap Parti Warisan Sabah (Warisan) terutama berkaitan sumbangan barangan keperluan kepada isi rumah memerlukan yang dikatakan tidak mencapai nilai RM100 seperti dikehendaki disebabkan tindakan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) yang ‘songlap’ peruntukan.

Disebabkan tuduhan tidak berasas itu yang dicanang oleh cybertrooper politik, beberapa pihak termakan hasutan sehingga lupa segala kerja keras yang telah dicurahkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

ADUN Sugut, Datuk James Ratib menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk kampung.

Bagaimanapun ketika serangan itu datang dari pelbagai sudut, pimpinan Warisan tidak pernah goyah, sebaliknya mereka tetap bekerja keras sejak 18 Mac lalu untuk memastikan rakyat di kawasan masing-masing mendapat bantuan yang diberikan.

Contohnya, di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, penyerahan pelbagai pakej barangan makanan asas telah dimulakan sejak hari pertama PKP lagi oleh wakil rakyatnya, Datuk Junz Wong.

Pelbagai barangan keperluan asas sedia diserahkan kepada nelayan di persisiran pantai Kinabatangan.

Bagi memastikan sasaran menyerahkan bantuan kepada setiap isi rumah tercapai, Junz sendiri turun padang meninjau proses agihan berkenaan untuk memastikan tiada sesiapa yang tercicir.

“Agihan pada hari Isnin adalah tambahan kepada rumah-rumah yang tertinggal daripada senarai 4,860 pek makanan yang diedar minggu lalu.

ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong turut terlibat bersama jentera parti menyerahkan bantuan kepada rakyat.

“Aktiviti yang dijalankan untuk Pulau Gaya melibatkan agihan 1,000 baris telur, 600 karton air minuman, 200 pek beras dan 500 pek makanan, pada masa sama, 500 pek beras, telur dan makanan digerakkan di sekitar Sembulan,” kata Junz mengulas tentang sumbangan yang diserahkan di kawasannya semalam.

Selain di kawasan bandar, masyarakat di pedalaman yang terkesan dengan PKP juga tidak ketinggalan daripada menerima bantuan, malah jentera kerajaan yang dibentuk akan memastikan bantuan tersebut sampai di pintu rumah penerima.

Penyerahan bantuan makanan asas di kawasan DUN Labuk.

Di kawasan DUN Labuk, wakil rakyat, Abdul Rahman Kongkawang bersama jentera Warisan telah bekerja keras memastikan bekalan makanan yang diserahkan kepada rakyat cukup memandangkan penduduk beberapa kampung yang terletak di kawasan pedalaman sukar untuk keluar mendapatkan bekalan.

Dengan kerjasama yang diselaraskan antara pejabat daerah, UPPM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), semua bantuan yang disediakan itu berjaya diagih-agihkan kepada rakyat tanpa pilih kasih, terutama golongan yang sangat memerlukan.

Timbunan kampit beras sedia untuk diserahkan kepada penduduk Sepanggar yang memerlukan.

Di kawasan Kinabatangan pula, penyerahan bantuan turut disampaikan kepada penduduk pedalaman yang tinggal di kawasan persisiran pantai kerana kebanyakkan masyarakat di situ adalah golongan berpendapatan rendah.

ADUN Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman turut turun padang memastikan bekalan yang dihantar betul-betul sampai tanpa sebarang halangan yang akhirnya membuatkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya.

Beberapa penduduk di Sepanggar mengambil bekalan makanan yang diserahkan.

Pegawai Kemajuan Masyarakat Sukau, Ezall Rohaizad Mohd. berkata, setiap bantuan yang disediakan kerajaan negeri diserahkan kepada rakyat di kawasan itu tanpa mengira kaum, agama mahupun ideologi atau kefahaman politik penerimanya.

Katanya, bekalan asas seperti beras, gula, minyak masak serta pelbagai jenis makanan dan barangan keperluan sentiasa dipastikan lengkap untuk diserahkan kepada rakyat bagi meneruskan kehidupan harian sepanjang PKP.

Proses pengagihan bantuan makanan di DUN Tanjung Aru.

“Pemberian bantuan kepada golongan sasar asnaf seperti ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), fakir miskin juga telah dicapai yang mana penyampaian bantuan kepada golongan sasar ini telah diamanahkan kepada pihak UPPM Sukau dan diserahkan kepada ketua-ketua kampung dan MPKK untuk diagihkan kepada golongan sasar tersebut.

“Tidak ada yang tercicir terutama sekali para asnaf di kawasan tersebut dan ini membuktikan kepada semua bahawa keperluan rakyat amat dititikberatkan dalam suasana pandemik atau wabak koronavirus yang melanda dunia sejak mutakhir ini,” katanya.