Pilot Test Pendataan Warga Asing Bermula, Taraf Kewarganegaraan Tidak Akan Diberikan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah telah memulakan aktiviti pendataan terhadap warga asing di beberapa ladang kelapa sawit milik Kumpulan Syarikat Sawit Kinabalu.

Pilot test bagi pendataan itu dimulakan di ladang-ladang milik syarikat milik penuh kerajaan negeri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, aktiviti pendataan sepenuhnya akan dilakukan dalam tempoh enam bulan dari sekarang, bermula dengan sektor perladangan.

Beliau berkata, pendataan ini melibatkan kesemua pemegang IMM13, Sijil Banci MKN, Dokumen JKM (Burung-Burung) dan semua warga asing yang bekerja di Sabah.

Katanya, kerajaan negeri memulakan aktiviti itu secara berfasa untuk memastikan segala proses pendataan dijalankan dengan teliti, teratur dan efektif.

“Kerajaan juga akan mendapatkan data-data biometric yang dilengkapi dengan pengecaman muka (facial recognition). Semua data yang diperolehi adalah milik Kerajaan negeri dan aktiviti pendataan tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan,” katanya semasa ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Ben Chong mengenai kredit karbon, Abidin memaklumkan setakat ini tiada kredit karbon diperdagangan di Sabah.

Walau bagaimanapun, bagi tujuan saringan terhadap sebarang projek kredit karbon yang hendak dilaksanakan di Sabah, kerajaan negeri telahpun menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCAC).

Majlis itu akan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan majlis itu bertanggungjawab untuk menetapkan hala tuju dan membincangkan dasar serta tindakan bagi menangani isu perubahan iklim, dan memacu pertumbuhan ekonomi dan teknologi hijau, serta menggalakkan pembangunan rendah karbon dalam negeri.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah juga sedang mengkaji penambahbaikan terhadap peruntukan-peruntukan berkaitan perdagangan kredit karbon di bawah Enakmen Hutan 1968.