Pilih Warisan Untuk Bawa Perubahan Di Kimanis – Anwar

4920

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Rakyat Kimanis diingatkan supaya membuat keputusan yang betul dengan menyokong calon Parti Warisan Sabah (Warisan) jika ingin melihat perubahan dan pembangunan dilakukan di kawasan Parlimen ini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu melihat Parlimen Kimanis ini dimiliki oleh parti pemerintah di Sabah supaya pembangunan boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, nasib rakyat tidak kira mereka pekebun kecil mahupun pemandu teksi perlu sama-sama dibela.

Katanya, jangan hanya melaungkan perjuangan ketuanan Melayu tapi bekerja sebagai pekebun kecil, laungkan ketuanan Melayu tapi kerja pemandu teksi.

“Kita bukan ingin merendahkan pekerjaan ini tapi kita mahu nasib pekebun kecil dan pemandu teksi ini dibela agar mereka sama-sama menikmati pembangunan.

“Saya datang sini bukan untuk menyatakan Barisan Nasional (BN) tidak buat apa-apa..itu tidak betul. Memang ada sekolah dan ada jalan. Itu kita tidak nafikan tapi banyak ketirisan yang berlaku semasa pemerintahan BN.

“Itu yang kita cuba kawal. Oleh itu, kita kena pastikan Kimanis ini dipegang oleh Warisan. Kita mahu teruskan pembangunan di sini.

“Rakyat di sini perlu memilih wakil rakyat yang faham tentang masalah rakyat. Jangan pilih wakil rakyat yang terlibat rasuah…pilih wakil rakyat yang menjaga kepentingan rakyat,” katanya semasa berucap dalam Ceramah Perdana di Dataran SEDCO, Saga-Saga, Kampung Pimping, Membakut, di sini semalam.

Anwar berkata, dalam tempoh setahun setengah ini, pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat kerajaan Pusat dan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di peringkat kerajaan negeri cuba untuk melakukan perubahan.

Namun, rakyat kena memberi ruang untuk perubahan itu dilaksanakan. Agak sukar untuk menyelesaikan masalah yang sudah berpuluh tahun dalam tempoh setahun.

Katanya, kerajaan hari ini baru bawa perubahan namun, tidak semua perkara dapat diubah dalam sekelip mata.

“Kita tidak mahu perkara yang berlaku dahulu dimana, hasil balak beratus juta tidak nampak. Jika dikumpul hasil balak ini selama 20 hingga 30 tahun, sudah berbilion ringgit hasil diperolehi. Namun, hasil itu tidak dinikmati oleh rakyat.

“Di bawah pemerintahan kerajaan baru, Tun Mahathir mahu politik yang menjaga kepentingan rakyat jelata, bukan politik yang menjaga kepentingan wakil rakyat dan kepentingan menteri-menteri. Kerajaan perlu lebih telus dalam pemerintahan,” jelasnya.

Menurutnya, atas sebab itu, perubahan kena bermula dengan betul agar tiada pemimpin yang rakus dalam kerajaan baharu ini.

Katanya, beliau tidak mahu ada pemimpin yang rakus dalam kerajaan hari ini. Jangan pula sebaik sahaja menjadi orang besar, perangai terus berubah menjadi bongkak dan sombong.

“Kita kena tegur orang sebegini supaya tidak menjadi penyakit barah yang membawa kepada kanser..nanti susah mahu ubat,” ujarnya.