Pihak Yang Menyebarkan Fitnah Sudah Kemaruk Isu – Fred Gabriel

FRED GABRIEL

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Bekas Presiden Parti Pembangunan Warisan Sabah, Fred Gabriel menyangkal serta menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang telah disebarkan di media massa social yang kononnya beliau telah menjual Parti Pembangunan Warisan Sabah kepada Shafie Apdal berjumlah RM500,000.00 sebelum parti itu ditukar nama kepada Parti Warisan Sabah.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Fred yang hanya ahli biasa didalam parti sekarang berkata, cerita tersebut adalah fitnah dan tidak masuk akal sama sekali dan cuba untuk mengaibkan dirinya dan Parti Warisan Sabah.

“Pihak yang bertanggungjawab membuat dan menyebarkan fitnah ini memang sudah kemaruk isu dan tidak perlulah kita layan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

“Perkara ini sudah dijangka dan rakyat memang sudah muak dengan cara begini. Saya bukanlah orang senang namun saya percaya masa depan Sabah tidak boleh dijual beli.

“Apa yang penting sekarang ialah saya bangga melihat parti ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin berkarisma dan berbilang kaum,” tegasnya lagi.