Pihak Masjid, Surau Perlu Patuhi SOP Solat Berjemaah

    Mohd Azis sampaikan sumbangan kepada AJK Bahagian Sepanggar.

Oleh JENNIFER TUGUNG MICHAEL
KOTA KINABALU: Pihak pengurusan masjid dan surau perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila mengadakan aktiviti solat berjemaah dan solat Jumaat berkuat kuasa esok.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, setakat ini kebenaran solat berjemaah hanya diberikan kepada ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sahaja manakala bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang.

Mohd. Azis berkata, surat kebenaran sempena Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikeluarkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) pada 20 Mei lalu turut membenarkan mengadakan solat jumaat dan hanya dibenarkan kepada AJK masjid yang tidak kurang tiga orang atau 12 orang termasuk imam dan khatib.

“Keputusan kebenaran itu tidak melibatkan solat sunat Aidilfitri semua ahli Qaryah dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat Hari Raya pada tahun ini di rumah atau tempat kediaman masing-masing.

“Orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau. Oleh itu kita harapkan semua orang awam dapat mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan dari masa ke semasa,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan sempena Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada Imam Masjid dan Surau di Seluruh Parlimen Sepanggar, di Kota Kinabalu hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kebenaran mengerjakan solat Jumaat ini sudah tentu memberi kelegaan kepada umat Islam di seluruh negeri Sabah selepas dua bulan masjid tidak dapat dikunjungi jemaah.

“Kita harus bersyukur kerana kini diberi kelonggaran untuk melaksanakan solat Jumaat dan solat fardu berjemaah yang lain, bagaimanapun kebenaran tersebut mungkin akan ditarik balik jika pihak pengurusan masjid dan surau gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai program penyampaian sumbangan kepada imam masjid serta surau di

seluruh parlimen Sepanggar, Mohd. Azis berkata, program ini merupakan kesinambungan sumbangan peribadinya kepada pengerusi masjid dan surau sempena bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Kita menjadikan amalan yang  mulia ini dijadikan sebagai acara tahunan untuk memberikan sedikit sumbangan kepada pihak pengurusan masjid serta surau di Parlimen Sepanggar agar mereka dapat melaksanakan aktiviti di kawasan mereka,”katanya.

(Visited 1 times, 1 visits today)