PIBG Lok Yuk Merayu Masyarakat Buat Sumbangan Demi Pembangunan Pendidikan

KOTA KINABALU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Lok Yuk Kota Kinabalu yang diterajui oleh Yang Dipertua Fatimah Jaafar akan mengelolakan Dermathon PIBG 2018 bagi mengisi tabung PIBG untuk menampung pelbagai program pembangunan di sekolah ini.

Hasil kutipan juga akan digunakan untuk memperkasa kemudahan TMK di sekolah, menambah baik prasarana dan keceriaan sekolah di samping menyemai perasaan sayang akan sekolah dalam diri murid-murid.

Program ini juga diharapkan dapat menggalakkan kerjasama aktif dalam kalangan ibu bapa, guru-guru, murid-murid dan masyarakat setempat.

Dermathon yang bermula pada 12 Mei 2018 dan akan berterusan sehingga 25 Jun 2018.

Satu Majlis Cabutan Bertuah akan diadakan pada hari Sabtu 18 Ogos 2018 di Dewan Lok Yuk pada jam 6:00 petang hingga 8:00 malam.

Murid-murid akan berpeluang mendapat satu kupon cabutan bertuah bagi setiap RM50.00 yang berjaya dipungut. Pelbagai hadiah menarik akan diberikan kepada pemenang-pemenang cabutan bertuah.

Selain itu, murid-murid yang mendapat pungutan mencapai RM300 akan layak mendapat hadiah tambahan satu tiket percuma untuk menyaksikan Konsert Lok Yuk Got Talent 2018.

PIBG SM Lok Yuk Kota Kinabalu mewakili semua warga sekolah ini ingin merayu agar masyarakat setempat dapat memberikan sumbangan ikhlas demi kebajikan dan pembangunan pendidikan di SM Lok Yuk Kota Kinabalu.

Individu yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan Dermathon PIBG 2018, bolehlah menghubungi Yang Dipertua PIBG SMLY (0168031901) atau Pengetua SMLY (088-426737).