Piala FA: Sabah FC Melangkah Ke Suku Akhir

KOTA KINABALU: Sabah FC muncul pasukan pertama layak ke suku akhir saingan Piala FA musim ini selepas menewaskan wakil Liga Premier, Kelantan United 2-1 di Stadium Likas di sini malam tadi.

Pada aksi pusingan kedua di gelanggang sendiri itu, skuad The Rhinos yang dikendalikan Datuk Ong Kim Swee menyaksikan skuad tuan rumah mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu pelawat, sebaik wisel ditiupkan pengadil perlawanan.

Namun, gol yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-40 apabila penyerang import dari Jepun, Taiki Kagayama bijak memanfaatkan peluang terhidang selepas penjaga gol Kelantan United, Fikri Che Soh gagal menepis rembatan Stuart Wilkin dengan kemas.

Di babak kedua, Kelantan mengejutkan Sabah apabila mendapat gol penyamaan hasil jaringan cantik penyerang import dari Nigeria, Jacob Njoku pada minit ke-67.

Sabah berusaha mencari gol kemenangan namun skuad kendalian Shamsul Saad berjaya menyerap asakan tuan rumah sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Pemain import Indonesia, Saddil Ramdani yang masuk sebagai pemain gantian muncul wira Sabah FC apabila rembatannya dari luar kotak penalti pada minit ke-110, menerjah jaring Kelantan.

Kemenangan 2-1 di Likas mengesahkan kemaraan Sabah ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.