Phoong Ucap Tahniah Atas Kelayakan Atlet Renang Ke Paralimpik Tokyo 2020

88

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menteri Belia & Sukan Phoong Jin Zhe melahirkan ucapan tahniah atas kejayaan atlet Sabah Brenda Annelina Larry yang berjaya melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo 2020.

Menerusi akaun Facebooknya, Phoong berkata, pada Hari Malaysia yang cukup bermakna ini, beliau menerima berita baik dan penuh dengan kebanggaan apabila seorang anak Sabah dikhabarkan baru melayakkan diri ke Paralimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, atlet Sabah itu berjaya melayakkan diri selepas menjalani kelayakan ke Tokyo yang dimuktamadkan semasa atlet berkenaan menyertai World Para Swimming Championship di London.

“Sebelum dia (Brenda) bertolak ke London, saya sempat memberi sedikit sumbangan kepadanya. Bagi pihak Kerajaan Sabah, kami sangat bangga dengan pencapaiannya. Dia membuatkan rakyat Sabah bangga,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya, di sini pada Isnin.

Pada Mei lalu, pencapaian ditunjukkan Brenda ketika menyertai Siri Kejohanan Renang Dunia 2019 di Singapura telah melayakkannya menyertai siri kejohanan sama di London baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Fuad itu menyertai acara 100m gaya bebas dan 50m kuak lentang.